Tuesday 18 February 2014

Beri anak sokongan agama, kasih sayang

  1. Beri anak sokongan agama, kasih sayang

    KUALA LUMPUR: Kekurangan sistem sokongan sosial terutama daripada keluarga antara punca utama dikenal pasti sebagai punca remaja perempuan menjual tubuh untuk mendapatkan wang secara mudah.

    Kaunselor Keluarga, Rahim Haron ketika dihubungi Metro Ahad berkata, sistem sokongan sosial yang longgar menyebabkan ada remaja berasa kekurangan menyebabkan mereka lebih gemar bersosial di luar daripada meluangkan masa bersama keluarga.

    “Seperti sistem kehidupan manusia yang memerlukan makanan, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya, begitu juga dengan sistem sokongan sosial kepada remaja.

    “Sekiranya proses itu tidak lengkap, maka pembentukan remaja akan terbatas. Selain sokongan ibu bapa, sistem ini merangkumi sokongan daripada kawan, guru, masyarakat dan persekitaran,” katanya.

    Bercerita lebih lanjut mengenai sistem dimaksudkan, beliau berkata, paling penting sokongan daripada segi pendidikan agama dan kasih sayang terhadap anak-anak.

    “Jika mahu mengejar keperluan hidup sekalipun, jangan abaikan tanggungjawab terhadap anak-anak. Perkara inilah yang menjejaskan tumbesaran mereka kerana tidak lengkap pendidikan dan perkara paling penting dalam hidup mereka.

    “Untuk menghasilkan anak yang baik, sistem sokongan sosial perlu lengkap, insya-Allah mereka mampu menjadi anak soleh dan cemerlang dunia akhirat,” katanya.

    Tambahnya, jika dilihat kebanyakan gejala sosial yang berlaku adalah daripada golongan berpendidikan tinggi dan bukan calang-calang orang.

    “Mungkin insan ini hanya cemerlang dalam pelajaran namun gagal dalam bidang lain. Misalnya kekurangan pengisian dalam kerohanian sebab itu mereka memilih jalan salah.

    “Ibu bapa perlu mencari punca mengapa anak berubah tingkah laku. Mungkin ia hasil kesilapan yang tidak disedari. Misalnya, ibu atau bapa yang panas baran, jadi sedikit sebanyak menjejaskan tumbesaran anak-anak dan mengubah mereka menjadi dendam dan sebagainya apabila dewasa,” katanya.

    myMetro 14 Okt 2012
    Like ·  · 

No comments:

Post a Comment