Wednesday 19 February 2014

Dapat Fakta Sebelum Kritik

Dapat Fakta Sebelum Kritik
KUALA LUMPUR: Masyarakat hari ini perlu mempunyai kejelasan terhadap sesuatu perkara secara mendalam sekali gus dapat mengelak daripada menuding jari kepada pihak lain.

Kaunselor Keluarga, Rahim Haron berkata, keperluan memahami situasi secara mendalam perlu supaya kita dapat mengambil pengajaran daripadanya.

“Sekiranya kita mempunyai kejelasan terhadap sesuatu perkara ia dapat mengelak kita daripada terus menghukum tanpa sebarang kefahaman yang jelas terhadap sesuatu perkara.

“Malah dalam psikologi kaunseling ada dinyatakan mengenai perkara ini (kejelasan). Di mana semakin banyak kita dengar dan faham secara mendalam, kita akan dapat menerimanya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan muka depan akhbar ini semalam berhubung tindakan seorang wanita merakam kejadian seorang bayi perempuan berusia 10 bulan didera ibunya sendiri dan rakaman video itu dimuat naik ke Internet sekali gus menimbulkan kemarahan orang ramai.

Justeru beliau menasihatkan masyarakat negara ini tidak menuding jari tanpa mengetahui kesahihan fakta terlebih dulu.

Sementara itu, Penasihat Agama dan Media, Islamic Aid Malaysia, Tuan Asmawi Tuan Umar berkata, dalam Islam, sekiranya seseorang itu mahu membuat tuduhan perlu mendapatkan maklumat dan bukti.

“Dalam al-Quran ada menyebutnya. Kita perlu ada saksi kerana ini membabitkan maruah dan aib orang.

“Justeru, kita jangan main-main dengan perkara ini kerana apabila terkena, maruah seseorang itu tercalar sampai bila-bila,” katanya.

Mengulas mengenai pendedahan dibuat wanita itu, beliau berkata, sebagai masyarakat prihatin tindakan itu wajar khususnya menyelamatkan bayi berkenaan.

Akhbar ini semalam melaporkan, wanita yang memperkenalkan diri sebagai Noor, 30-an, mendakwa dia membuat rakaman itu semata-mata untuk diserahkan kepada polis kerana tidak tahan melihat bayi itu dikasari ibunya.

Dia bagaimanapun tidak tahu siapa yang memuat naik rakaman video itu dalam Internet dan sedih apabila sebahagian besar maklum balas pengguna Internet menyalahkan dia kerana dianggap bersubahat apabila tidak menyelamatkan bayi itu daripada didera ibunya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro

No comments:

Post a Comment